Pengikut

Rabu, April 01, 2009

LEMAHKAH murid-murid Islam?

CARTA seribu makna, dan itulah yang dipaparkan dalam tulisan ini. Ya, apalah sangat dengan kejohanan olah raga yang memang setiap tahun diadakan. Sukan adalah kegiatan perlawanan dan kesihatan. Dengan sukan imej kekuatan institusi dan negara menjadi taruhan. Sebab itulah semua negara mahu mendapat sebanyak mungkin pingat emas di Sukan Olimpik. Kejayaan pingat di sukan berpestij adalah cermin pemikiran dan budaya rakyat.

Oleh itu bacalah bahawa sekalipun ini hanya sukan sekolah-sekolah, namun itulah cermin pemikiran, mental, pengurusan, tahap kewangan dan kesungguhan memenangi apa juga persaingan. Untuk apa memasuki pertandingan kalau bukan untuk memenanginya.

Apakah yang mahu difikirkan dengan data pada carta di atas? Perhatikan kedudukan sekolah-sekolah agama (SAM) dengan sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran (SMK). Saya tidak akan menulis perbandingan ini jika para ustaz selama ini mengatakan bahawa agama Islam hanya agama ritual, tidak ada kena mengena dengan kesihatan, kekuatan dan persaingan. Saya tidak akan gusar dengan imej ini jika para pemikir dan pendakwah tidak mempromosikan bahawa Islam adalah sejahtera dan penyelamat umah.

Selama ini ulama, ustaz dan ustazah sering berkata bahawa Islam adalah kekuatan, Islam paksi profesionalisme, Islam lambang keagungan, Islam segala-gala kejayaan dan kecemerlangan! Kerana Islam dikatakan sebagai satu cara hidup, maka banyak penggerak Islam mendesak ditubuhkan institusi Islam dari peringkat rendah, menengah dan tinggi. Kewujudan Sekolah Agama Menengah adalah sebagai memenuhi tuntutan yang dikatakan Islam adalah universal dan tempat berteduh yang abadi.

Dengan kewujudan sekolah berteraskan Islam tentulah secara lahiriahnya dapat dilihat semua sektor dalam sekolah-sekolah agama mencapai taraf jempolan! Nah apa jadi dengan semangat melawan murid-murid sekolah agama? Melawan apa? Tentulah dalam kegiatan sukan. Apa gunanya diceritakan mengenai kegigihan dan kesungguhan para pejuang Islam dahulu, kalau di atas padang semua murid Islam lembik!

Sebenarnya dengan angka-angka sifar pungutan pingat sukan, merupakan lambang ekonomi yang rendah, pengurusan yang lemah, tiada semangat juang dan banyak lagi masalah yang bersarang di sana. Nak marah, marahlah. Memang pedih dengan kritikan, tetapi itulah keadaan sebenar jika dibuat bandingan dengan sekolah-sekolah yang bukan dilabelkan agama Islam.

Jangan merungut dan marah jika lepasan sekolah agama hanya diberi peranan baca doa!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan